Pelancong China lemas ketika aktiviti snorkeling di Pulau Mengalum

SEORANG pelancong wanita warga China berusia lingkungan 30-an ditemukan lemas ketika menyertai aktiviti snorkeling di perairan Pulau Mengalum di Kota Kinabalu hari ini.

Mangsa sebelum itu menyertai rombongan bersama 16 pelancong lain sebelum menaiki bot ke pulau berkenaan untuk melakukan aktiviti terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.30 petang ini.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai lemas di kawasan perairan berkedalaman kira-kira 1.5 meter.

“Dia dipercayai melakukan aktiviti snorkeling selama kira-kira 15 minit sebelum seorang kru bot yang memantau pelancong menyedari mangsa terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibawa ke darat sebelum diberikan bantuan pernafasan, namun tiada tindak balas. Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.

Shahrudin berkata, polis yang menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah, selain sudah merakam percakapan saksi bagi membantu siasatan.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here