PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhari apabila menyaksikan karya beliau Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times kini telah secara rasmi hadir dalam terjemahan bahasa Mandarin.
Katanya, ia adalah sebuah usaha yang murni yang beliau harapkan dapat memperluas medan pertemuan serta pembenturan pemikiran, budaya dan peradaban.
‘’Buku ini tidak berbentuk memoir atau autobiografi, tetapi merupakan himpunan renungan tentang pengaman mengenai penjajahan dan imperialisme, kebangkitan negara negara merdeka, usaha pencarian serta pemurnian jati diri bangsa, serta usaha dan ikhtiar membina negara bangsa serta masa depannya berpaksikan keadilan, kemanusiaam dan kemakmuran bersama,’’ katanya.
Semalam Perdana Menteri yang berada di Hangzhou menghadiri pelancaran global edisi Bahasa Cina buku terbaharunya itu, yang diterbitkan World Affairs Press di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar China. Ia diterjemahkan oleh Dr Yan Lijin, dengan kira-kira 5,000 naskhah telah dicetak.
Anwat berkata, dalam konteks hubungan Malaysia dan China mengajar bahawa perbezaan tidak semestinya menjurus kepada pertentangan.
Kata beliau, sejak berabad lamanya, hubungan antara masyarakat dan peradaban kita terbina melalui jalur perdagangan, kebudayaan, sikap saling hormat dan pertukaran ilmu.
‘’Dalam dunia yang semakin berantakan disebabkan prasangka dan ketidakyakinan, jambatan kefahaman semacam ini harus terus diperkukuh,’’ katanya.
‘’ Sementalahan, saya yakin kita tidak harus terperangkap dalam dikotomi Timur atau Barat. Dari Confucius dan Mencius sehingga Shakespeare, termasuk dari tradisi Islam hingga khazanah pemikiran pelbagai peradaban, yang harus kita junjung ialah hikmah yang mengangkat martabat manusia yakni prinsip tegas kepada kebenaran, keadilan, ihsan dan rasa hormat antara insan,’’ katanya.
Anwar menegaskan, akhirnya, persoalan besar zaman ini tidak semata tentang siapa muncul dari Timur atau Barat, apa bangsa atau anutannya, tetapi sejauh mana kita mampu kembali menemukan kemanusiaam yang menyatukan kita dan membina kesejagatan yang adil dan saksama untuk semua.





