‘’Tindakan RoS bukan sewenang-wenangnya, pasti berlaku kepincangan dalam PN’’ – Zahid

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti Perikatan Nasional (PN) bukan dilakukan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan aduan yang diterima.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata menjadi tanggungjawab RoS menjaga kepentingan anggota mana-mana pertubuhan yang berdaftar dengan pertubuhan tersebut di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Tentunya ada beberapa kepincangan yang telah berlaku dalam Perikatan Nasional yang menyebabkan penggantungan ini dibuat oleh RoS. Dalam konteks ini, tentunya ada rungutan ataupun aduan yang dihantar oleh sebuah daripada parti gabungan itu menyebabkan penggantungan telah dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sidang pertama Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah Tahun 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tanjong Malim hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap tindakan penggantungan itu dihadapi dengan tenang oleh PN dan parti yang berada di bawah gabungan itu sementelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjelang.

Beliau berkata PN pasti mempunyai perancangan sendiri jika penggantungan tersebut berterusan.

“Tentunya parti-parti gabungan itu akan menggunakan lambang parti masing-masing untuk masuk ke gelanggang pilihan raya negeri Melaka atau pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Terdahulu, RoS mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa pada 23 Sept lepas.

Menurut RoS, tindakan itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 Sept 2026.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here