Dua warga China dipenjara enam bulan miliki rokok seludup

SEORANG lelaki dan wanita warga China masing-masing dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sepang memiliki pelbagai jenis rokok seludup, bulan lalu.

Majistret Khairatul Animah Jelani menjatuhkan hukuman terhadap Chen Qianliang, 40, dan Yan Haiyan, 41, yang berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 13 Ogos lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Chen didakwa memiliki 268 karton rokok jenama Marlboro Ice Blast bernilai RM8,040 dengan taksiran duti import RM36,180, lapor BH.

Sementara itu, Yan didakwa memiliki 60 karton rokok jenama sama serta 120 karton rokok Manchester United Double Drive bernilai RM5,400 dengan taksiran duti import RM24,300.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada jam 11.45 pagi, 13 Ogos lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama.

Semua rokok berkenaan disenaraikan sebagai barang larangan mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Mahkamah turut memerintahkan Chen membayar duti import RM36,180, manakala Yan RM24,300, atau masing-masing dipenjara dua bulan jika gagal berbuat demikian.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Shahrul Amin Shahrul Nizam, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Lim Kim Fook.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here