SEORANG tukang kimpal dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian kekasih isterinya dalam kejadian pada 2022.
Hakim Noor Hisham Ismail menjatuhkan hukuman terhadap Chin Ngit Soon, 55, selepas mengambil kira reaksi emosi tertuduh, usaha menyelamatkan mangsa serta kerjasamanya dengan polis sebagai faktor meringankan hukuman.
Dalam alasan penghakiman, Noor Hisham berkata, Ngit Soon yang sudah berkahwin selama 18 tahun dan mempunyai dua anak menemui isterinya bersama Wong Kim Miew, 71, dalam sebuah kereta di tempat letak kereta pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, kira-kira jam 5 petang pada 25 November 2022.
Beliau berkata, tertuduh sebelum itu berulang kali meminta isterinya menghentikan hubungan sulit berkenaan demi keluarga mereka.
Pada hari kejadian, Ngit Soon membawa pisau dengan niat menakutkan Kim Miew supaya menghentikan hubungan itu, namun berlaku pergelutan menyebabkan mangsa ditikam di dada dan paha.
Selepas kejadian, tertuduh membawa mangsa yang masih sedar ke sebuah hospital swasta sebelum membawanya ke Hospital Serdang selepas dimaklumkan mangsa tidak boleh dimasukkan ke hospital berkenaan.
Mangsa kemudian meninggal dunia kira-kira jam 11.50 malam akibat luka tikaman di dada.
Mahkamah turut mengambil kira kerjasama Ngit Soon dengan polis, termasuk menunjukkan lokasi pisau yang digunakan, tidak melarikan diri serta memaklumkan kejadian kepada keluarganya.
Tertuduh juga memohon maaf kepada keluarga mangsa ketika berada dalam tahanan polis, lapor Buletin TV3.
Ngit Soon pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun representasinya diterima pada 31 Julai lalu sebelum dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 304(a) akta sama.
Pihak pendakwaan sebelum itu memohon hukuman penjara antara 12 hingga 17 tahun, namun mahkamah menjatuhkan hukuman tujuh tahun enam bulan.





