Pesara ‘dihujani’ bola golf tujuh tahun dapat RM100,000

SEORANG pesara terganggu selama hampir tujuh tahun apabila rumahnya kerap ‘dihujani’ bola golf dari padang berhampiran.

Gangguan sejak 2018 itu menyebabkan kerosakan pada bumbung, reban ayam, dinding luar serta cermin tingkap rumah milik Mohd Nazli Ahmad Mahyadin, 61.

Berikutan gangguan berterusan itu, Mohd Nazli membuat kira-kira 16 laporan polis antara 2019 hingga Januari tahun ini selain mengemukakan aduan berulang kepada pihak pengurusan kelab golf berkenaan.

Mahkamah Tinggi Alor Setar kemudian memutuskan pengendali dan pemilik tanah padang golf itu bertanggungjawab atas gangguan peribadi (private nuisance) terhadapnya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Aimi Zaini Mohd Azhar, memerintahkan BDB Darulaman Golf & Resort Bhd dan BDB Land Sdn Bhd membayar ganti rugi am RM100,000 secara bersama kepada Mohd Nazli.

Kedua-dua syarikat itu turut diperintahkan membayar kos tindakan mahkamah RM20,000.

Dalam penghakiman bertulis yang disiarkan Jabatan Kehakiman semalam, Mohd Aimi Zaini berkata, bukti menunjukkan pencerobohan bola golf itu bukan insiden terpencil, sebaliknya berlarutan biarpun pelbagai aduan dan langkah keselamatan sudah diambil defendan.

“Selama hampir tujuh tahun, bola golf sesat dari laluan padang (fairway) bersebelahan menukarkan rumah seorang pesara menjadi kawasan bahaya, sekali gus memaksa plaintif dan keluarganya hidup dalam ketakutan di kediaman sendiri,” katanya, lapor BH.

Mohd Nazli memiliki dan menetap di sebuah rumah banglo di Suasana Indah, Bandar Darulaman, Jitra, berhampiran ‘Hole 7’ padang golf berkenaan.

Beliau membeli hartanah itu daripada BDB Land pada Disember 2004 sebelum berpindah masuk pada 25 Disember 2018 dan sejak itu bola golf mula mendarat di kawasan rumahnya.

Selain laporan polis, Mohd Nazli turut mengemukakan gambar, mesej WhatsApp, aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta keterangan tujuh jiran yang berdepan masalah sama bagi menyokong kesnya.

Mahkamah turut menolak hujah defendan yang mendakwa kerosakan genting bumbung rumah plaintif kemungkinan disebabkan burung.

“Dakwaan burung merosakkan genting bumbung kekal sebagai teori spekulatif semata-mata tanpa sebarang bukti kukuh,” kata hakim.

Meskipun menolak tuntutan pencerobohan hak milik (trespass) kerana bola dipukul oleh individu dan bukannya secara langsung oleh defendan, mahkamah mendapati pencerobohan berulang itu terbukti melepasi tahap gangguan biasa.

Mahkamah berpendapat pengendalian laluan padang golf bersebelahan sempadan kediaman membawa risiko jelas dan boleh dijangka bahawa pukulan tersasar akan memasuki kawasan persendirian.

Langkah keselamatan yang diambil defendan juga didapati tidak mencukupi sehingga menyebabkan gangguan serius, berterusan dan tidak munasabah terhadap kehidupan seharian plaintif.

Mahkamah bagaimanapun menolak tuntutan ganti rugi khas, teladan dan tambahan oleh plaintif.

Sehubungan itu, kedua-dua defendan diperintahkan mengambil langkah pembaikan dalam tempoh 60 hari termasuk meninggi dan memanjangkan jaring keselamatan di kawasan ‘Hole 7’, merombak kedudukan penanda ‘tee’ serta laluan permainan, memasang papan tanda amaran keselamatan dan mengambil tindakan susulan bagi memastikan tiada lagi bola golf memasuki hartanah plaintif.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here