
PELAKSANAAN Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sejak 2020 menjadi antara asas penting dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar, selain membantu negara merancang pembangunan infrastruktur digital secara lebih tersusun.
Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nur Kareelawati Abd Karim berkata, pendekatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang memberi perhatian kepada pemetaan serta pengumpulan data penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital terus memenuhi keperluan masyarakat.
Menurut beliau, data yang tepat dan dikemas kini membantu mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian serta membolehkan perancangan dibuat dengan lebih bersasar.

“Usaha MCMC dalam memperkukuh infrastruktur digital perlu diteruskan dengan pemetaan yang semakin terperinci supaya kawasan yang memerlukan perhatian dapat dikenal pasti berdasarkan keadaan sebenar di lapangan,” katanya kepada UtusanMelayuPlus baru-baru ini.
Beliau berkata, angka liputan pada peringkat nasional penting sebagai penanda aras, namun pengalaman pengguna di lapangan juga wajar diberikan perhatian sebagai pelengkap kepada data teknikal.

Menurutnya, maklum balas masyarakat setempat dapat membantu memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai pengalaman pengguna, termasuk dari aspek kestabilan, kapasiti dan kualiti rangkaian.
Beliau turut menyambut baik kerjasama MCMC dengan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi dan komuniti.
Katanya, kepakaran universiti dalam bidang penyelidikan, komunikasi dan pembangunan komuniti boleh dimanfaatkan bagi menyokong perancangan digital negara yang lebih menyeluruh.

Pada masa sama, Dr Nur Kareelawati melihat JENDELA mempunyai potensi besar untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi luar bandar, termasuk sektor pelancongan, perniagaan kecil, ekonomi kreatif dan pendidikan.
Akses internet yang baik membolehkan pengusaha luar bandar mempromosikan produk dan perkhidmatan kepada pelanggan di luar kawasan mereka, sekali gus memperluas potensi pasaran.
Dalam konteks itu, kemudahan Wi-Fi di lokasi strategik seperti pusat komuniti, kawasan rekreasi dan destinasi pelancongan juga boleh menjadi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi setempat.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur digital perlu disertai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai cara memanfaatkan kemudahan tersebut.
Menurutnya, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) memainkan peranan sebagai penghubung antara infrastruktur digital dengan masyarakat melalui akses, pembelajaran dan bimbingan.
“Kalau infrastruktur sudah tersedia tetapi masyarakat tidak tahu bagaimana menggunakannya untuk pendidikan, pekerjaan atau perniagaan, manfaatnya tidak dapat dioptimumkan,” katanya.
Beliau berpandangan, pendekatan berasaskan data yang terus diperkukuh akan membantu MCMC memastikan pembangunan digital negara kekal responsif terhadap keperluan masyarakat.
“Pembangunan digital akhirnya bukan hanya soal rangkaian. Ia adalah soal bagaimana rangkaian itu memberi nilai kepada kehidupan manusia,” katanya.





