SEBUAH kilang kitar semula dan tiga rumah di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.37 tengah malam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Menurutnya, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Ampang, BBP Bandar Tun Hussein Onn dan BBP Hang Tuah.
Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Baru Ampang, Kampung Kepong Batu, Serdang, Desa Petaling, Bandar Mahkota Cheras dan Pandan Indah turut membantu operasi berkenaan.
“Kebakaran membabitkan sebuah kilang kitar semula dan tiga rumah dengan anggaran kemusnahan adalah kira-kira 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ashrul Riezal, api berjaya dikawal pada jam 1.24 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Kejadian itu turut tular dalam media sosial menerusi beberapa rakaman yang dikongsikan pengguna, memaparkan api menjulang bersama kepulan asap tebal dari kawasan kebakaran.





