UiTM Holdings rugi RM157 juta?…Ini penjelasan Dr.Fathul Bari

Oleh:  Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya

Pengerusi UiTM Holdings Sdn Bhd

SAYA mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim , berhubung kerugian UiTM Holdings Group. Saya menghargai keprihatinan dan ketegasan Perdana Menteri. Perhatian ini wajar menjadi momentum untuk memperkukuhkan proses pemulihan yang sedang berjalan.

Namun, fakta perlu diletakkan pada garis masanya. Kerugian yang diperkatakan bukan kerugian baharu di bawah kepimpinan semasa. Angka sekitar RM157 juta telah dilaporkan sejak 2023 dan Kementerian Pendidikan Tinggi ketika itu menjelaskan ia merupakan kerugian  terkumpul sehingga kini (semenjak 2007).

 Isu ini turut diteliti melalui Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2022 dan prosiding PAC sebelum Laporan PAC dibentangkan pada 2024. Ini fakta kronologi. Ini isu legasi.

Kepimpinan baharu, mandat yang jelas

Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh menerajui pengurusan UiTM Holdings sejak Januari 2025, dengan pengalaman pernah menerajui Malaysia Airports, KPJ Healthcare serta memegang posisi penting dalam beberapa GLC dan organisasi korporat utama.

Saya pula mengambil amanah sebagai Pengerusi pada Ogos 2025. Bersama Lembaga Pengarah dan pengurusan, mandat kami jelas: memulihkan prestasi, memperkukuh tadbir urus, membina semula keyakinan dan meletakkan UiTM Holdings kembali pada landasan pertumbuhan. Kami tidak menggunakan legacy issues sebagai alasan. Kami mengenal pasti legasi tersebut untuk menyelesaikannya.

*Trust deficit perlu ada noktah

Kami memahami kerugian masa lalu telah mewujudkan trust deficit terhadap UiTM Holdings. Tetapi trust deficit tidak seharusnya diwariskan tanpa penghujung kepada kepimpinan baharu.

Kepimpinan telah berubah. Tadbir urus sedang diperkuatkan. Maka prestasi kepimpinan semasa sewajarnya dinilai berdasarkan integriti, pelaksanaan dan hasil semasa.

Jangan politikkan proses pemulihan

Saya berharap isu ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak, daripada mana-mana parti sekalipun. Ini bukan isu politik. Ini isu pemulihan sebuah aset milik universiti. Jika UiTM Holdings kukuh, nilai akhirnya kembali kepada UiTM. Jika ia terus lemah, UiTM juga menerima kesannya.

Satu ekosistem,Satu tanggungjawab

Saya ingin merakamkan penghargaan khusus kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Kamil, yang banyak memberikan dukungan terhadap usaha pemulihan UiTM Holdings, begitu juga anggota LPU yang sentiasa memberikan pandangan dan sokongan. Namun, LPU sahaja tidak mencukupi.

Pemulihan UiTM Holdings memerlukan tiga komponen bergerak dalam satu arah: LPU yang memberikan hala tuju dan pengawasan, pengurusan universiti yang menterjemahkannya kepada keputusan serta tindakan, dan UiTM Holdings yang melaksanakan pemulihan secara profesional dan berakauntabiliti. Dan keseluruhan warga UiTM perlu memahami satu perkara asas: UiTM Holdings adalah sebahagian daripada UiTM.

Kita tidak boleh melihat kedua-duanya sebagai dua entiti yang tiada hubungan. Apa yang berlaku kepada Holdings akhirnya memberikan impak kepada universiti. Justeru, hubungan antara LPU, pengurusan universiti dan Holdings perlu dibina atas kepercayaan, kesepaduan dan matlamat yang sama.

Bukan UiTM Holdings sahaja

Persoalan lebih besar ialah kedudukan syarikat-syarikat pegangan universiti awam di seluruh negara. Saya amat menghargai pendekatan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir , yang secara serius mengadakan pertemuan, perbincangan dan retreat bersama Pengerusi serta CEO syarikat pegangan universiti bagi memperkukuhkan semula ekosistem ini.

Nilai  universiti wajar kembali kepada universiti

Saya dengan rendah diri mencadangkan Perdana Menteri, khususnya sebagai Menteri Kewangan, meneliti satu kerangka nasional supaya syarikat pegangan dan anak syarikat universiti diberikan First Right of Refusal (FROR) bagi peluang perniagaan yang bersesuaian dalam ekosistem universiti masing-masing; tertakluk sepenuhnya kepada merit, due diligence, daya saing dan tadbir urus.

Bukan projek percuma. Bukan monopoli. Tetapi peluang pertama untuk bersaing dan dinilai secara profesional. Jika syarikat universiti mampu melaksanakannya secara kompetitif, adalah lebih strategik sekiranya nilai ekonomi tersebut kekal dalam ekosistem universiti. Keuntungan anak syarikat universiti akhirnya harus kembali memperkukuhkan universiti.

Kami sudah ada pelan

Bagi UiTM Holdings, pelan dan cadangan pemulihan telah beberapa kali dibentangkan melalui saluran tadbir urus termasuk kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU). Kini yang diperlukan ialah alignment, keputusan dan pelaksanaan di seluruh ekosistem UiTM.

Kami masuk untuk bekerja, bukan untuk mempertahankan masa lalu. Yang lama kita pelajari. Yang salah kita betulkan. Yang lemah kita perkuatkan. Yang berpotensi kita bangunkan. Kerugian itu legasi. Trust deficit itu kita pulihkan. Sekarang kita bergerak ke hadapan.

Insya-Allah, dalam siri seterusnya saya akan bentangkan apa yang telah kami lakukan, apa yang sedang dilaksanakan dan hala tuju seterusnya UiTM Holdings. Nilailah kepimpinan semasa berdasarkan apa yang kami lakukan terhadap masalah yang diwarisi; dan hasil yang kami tinggalkan.

Sila rujuk laporan penuh PAC 2024 tentang isu UiTM Holdings di link berikut: https://www.parlimen.gov.my/…/laporan-mesyuarat-pac…



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here