PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa agar penerbitan filem dan drama yang memaparkan aksi buli dihentikan kerana bimbang kandungan berkenaan boleh mendorong golongan muda meniru perlakuan terbabit.
Katanya, karya yang bertujuan memberi kesedaran mengenai gejala itu secara tidak langsung dikhuatiri boleh mempromosikan perbuatan berkenaan.
“Dan akhirnya anak-anak muda berlagak seperti ‘taiko’ dan ‘otai’,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Kenyataan Asyraf Wajdi itu dipercaya merujuk kes terbaru yang berlaku di Kuala Pilah apabila polis Negeri Sembilan membuka kertas siasatan berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah sukan.
Pelajar berkenaan meninggal dunia semalam, manakala keluarganya mendakwa mangsa diserang seorang pelajar senior.
Susulan kejadian kira-kira jam 8 malam di asrama sekolah itu, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh.
Mengulas lanjut, Asyraf melahirkan kesedihan berhubung kematian pelajar terbabit.
“Jika apa yang didakwa itu benar, tindakan wajib diambil serta-merta,” katanya.





