Keterangan beberapa individu sudah dirakam polis berkaitan isu Negeri Sembilan

POLIS telah merakam keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung laporan yang mempunyai kaitan dengan institusi diraja Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, individu berkenaan termasuk pihak yang mempunyai kaitan secara langsung dengan laporan yang sedang disiasat.

Menurutnya, polis akan meneruskan proses mengambil keterangan daripada pihak berkaitan mengikut perkembangan siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Polis sedang menjalankan siasatan. Sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan, kita akan mengemukakannya kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran inisiatif ‘Pemutihan Kawasan Hitam’ di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth hari ini, lapor BH.

Mohd Khalid berkata, pihak penyiasat masih meneliti kandungan laporan bagi menentukan peruntukan undang-undang yang bersesuaian.

“Kita belum menelitinya secara menyeluruh. Ia mungkin melibatkan Akta Hasutan atau kesalahan lain, dan perkara ini memerlukan penelitian daripada semua pihak terutamanya Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa polis telah memanggil mana-mana bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) hari ini untuk dirakam keterangan.

“Hari ini hari Ahad, jadi belum lagi. Kita belum panggil mereka lagi,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dijangka mengambil keterangan daripada 10 Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang dikatakan terbabit dalam isu pembatalan pelantikan mereka di Seremban.

Mohd Khalid berkata, polis sebelum ini telah memanggil satu atau dua individu yang dipercayai boleh membantu siasatan sebagai saksi.

Proses mendapatkan keterangan daripada pihak lain yang berkaitan dijangka diteruskan bermula esok atau Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan bahawa situasi keselamatan di Negeri Sembilan ketika ini berada dalam keadaan stabil dan terkawal.

Katanya, polis akan terus mengambil langkah bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara serta keselamatan penduduk di negeri itu terjamin.

Krisis politik dan Perlembagaan negeri berkenaan sebelum ini menjadi perhatian susulan perkembangan berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta pelantikan Exco negeri.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dilaporkan membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau dipaksa menandatangani dokumen berkaitan usaha menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Ismail turut dilaporkan menegaskan barisan Exco sedia ada masih sah walaupun mereka tidak dibenarkan memasuki pejabat di Wisma Negeri.

Sementara itu, pelantikan Exco berkenaan dilaporkan telah dibatalkan Tuanku Muhriz selepas baginda mendapati mereka melanggar sumpah jawatan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here