SEORANG lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu meninggal dunia hari ini selepas disahkan dijangkiti rabies, sekali gus menjadi kes pertama penyakit berkenaan dalam kalangan manusia di Kedah sejak 1998.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, mangsa mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu.
Mangsa dilaporkan mendapatkan rawatan selepas kejadian itu, namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan (PEP) rabies.
Menurut JKN Kedah, keadaan kesihatan mangsa mula merosot pada 18 September apabila mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada bahagian anggota atas kanan badan.
Beberapa hari kemudian, katanya, pada 22 September, mangsa mengalami kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia, keresahan serta perubahan tingkah laku.
“Pada 23 September lalu, dia mendapatkan rawatan semula dan seterusnya dirujuk untuk rawatan lanjut sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
“Sampel klinikal diambil pada 24 September dan keputusan ujian makmal pada 26 September mengesahkan jangkitan rabies,” menurut kenyataan itu.
JKN Kedah berkata, sehingga Ogos lalu, sebanyak 502 kes gigitan dan cakaran haiwan telah dilaporkan di negeri itu.
Daripada jumlah berkenaan, 65.3 peratus melibatkan anjing, diikuti kucing sebanyak 23.1 peratus dan haiwan lain sebanyak 11.6 peratus.
Sebanyak 56.2 peratus kes pula melibatkan haiwan peliharaan, manakala 43.8 peratus membabitkan haiwan terbiar.
Susulan kematian itu, JKN Kedah bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah (JPVK) serta agensi berkaitan menjalankan pelbagai langkah kawalan.
Antaranya termasuk pengesanan kes secara aktif, pendidikan kesihatan, pengukuhan pemantauan kes gigitan haiwan serta penilaian risiko dan tindakan kawalan terhadap haiwan terbiar.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JKN Kedah dan agensi berkaitan turut menjalankan siasatan epidemiologi bagi mengenal pasti sumber jangkitan serta laluan pendedahan, termasuk meneliti sejarah perjalanan, pendedahan, kontak dan faktor risiko.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri, menyentuh atau memberi makanan kepada haiwan terbiar.
Pemilik anjing dan kucing turut diingatkan supaya memastikan haiwan peliharaan masing-masing menerima vaksinasi anti-rabies mengikut nasihat JPVK.




