PIHAK berkuasa Singapura menahan seorang lelaki Malaysia berusia 37 tahun dan seorang lelaki Singapura berusia 41 tahun berhubung kes disyaki penyeludupan serta kesalahan dadah bernilai lebih S$1 juta (S$1=RM3.20), menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Dalam satu kenyataan, ICA memaklumkan lelaki warga Malaysia itu ditahan pada 23 Sept kerana disyaki cuba menyeludup dadah termasuk heroin, Ice dan kanabis ketika menunggang motosikal berdaftar di Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Tuas.
Pegawai kemudian menemukan beberapa bungkusan bertutup yang dilabel sebagai biskut komersial di dalam kotak belakang motosikal itu dan mengesyaki ia mengandungi dadah.
“Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) segera dimaklumkan mengenai penemuan itu dan pemeriksaan lanjut menemukan lebih banyak bungkusan serupa.
“Sejumlah kira-kira 6,961 gram (g) heroin, 1,116g Ice dan 1,032g kanabis dirampas daripada motosikal berkenaan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Sementara itu, lelaki Singapura terbabit ditahan pada hari sama kerana disyaki melakukan kesalahan dadah susulan operasi CNB hasil siasatan lanjut.
Lelaki itu ditahan dalam operasi di sekitar Tampines Street 83 dan pihak berkuasa merampas 790g heroin, 602g kanabis, 127g Ice, 51g pil ekstasi dan 21g ketamin. Wang tunai berjumlah S$33,086 turut dirampas.
ICA memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 5 dan Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, yang memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan mengimport dadah ke Singapura.
“ICA akan terus bekerjasama dengan CNB untuk mencegah cubaan menyeludup dadah merentasi sempadan negara,” menurut kenyataan itu.





