Anggota polis nyaris ditikam ketika buka pintu pagar balai

SEORANG  anggota polis berdepan detik cemas apabila hampir ditikam seorang lelaki bersenjatakan pisau ketika membuka pintu pagar Balai Polis Batu 9, di Cheras, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, anggota terlibat sedang bertugas sebelum didatangi seorang lelaki berusia 54 tahun yang menunggang motosikal dan mahu memasuki kawasan balai.

Anggota polis itu kemudian membuka pintu pagar dan menghampiri lelaki tersebut untuk bertanyakan tujuan kedatangannya. Bagaimanapun, lelaki berkenaan tidak memberikan sebarang jawapan sebelum turun dari motosikal dan membuka kotak simpanan di bahagian belakang kenderaan.

Lelaki itu secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau lalu cuba menikam anggota polis berkenaan di bahagian kanan perut. Namun, tikaman tersebut terkena tali pinggang yang dipakai anggota itu, sekali gus menyelamatkannya daripada mengalami kecederaan lebih serius.

Anggota itu kemudian bergelut dengan suspek sebelum dua lagi anggota yang berada di kawasan balai datang membantu dan berjaya menahannya.

Dalam pergelutan itu, seorang daripada anggota yang membantu turut mengalami luka pada kedua-dua tapak tangannya. Pemeriksaan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan tidak dikehendaki polis.

Polis turut merampas sebilah pisau berukuran kira-kira 20 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan. Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif lelaki terlibat datang ke balai polis serta membawa senjata berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here