PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadii Awang menyifatkan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali seorang tokoh perubatan dan kesihatan yang banyak mencurahkan bakti kepada masyarakat dan negara.
Sambil melahirkan rasa dukacita berikut kembalinya Allahyarham Dr.Siti Hasmah ke rahmatullah, Abdul Hadi berkata, sebagai seorang doktor yang pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam, khususnya di Kedah, Allahyarhamah telah memberikan sumbangan dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan serta kebajikan masyarakat, termasuk dalam bidang kesihatan wanita dan kanak-kanak.
‘’Dalam perjalanan hidupnya, Allahyarhamah turut memainkan peranan dalam pelbagai usaha kebajikan dan kemasyarakatan, di samping menjadi pendamping kepada suaminya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sepanjang perjalanan panjang khidmat beliau kepada negara,’’ kata Abdul Hadi dalam kenyataan di Facebook beliau.

Abdul Hadi berkata, sesungguhnya pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan kepada keluarga, masyarakat dan negara.
‘’Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarhamah menerima segala amal solehnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan para solihin.
‘’Saya merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, seluruh ahli keluarga serta sahabat handai Allahyarhamah. Semoga mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.Al-Fatihah,’’ katanya.





