DATUK Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah susulan pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pagi ini.
Perdana Menteri menyifatkan Allahyarhamah yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Kak Hasmah’ sebagai seorang yang lemah lembut dalam pertuturan, namun memiliki jiwa yang kuat dan tabah.
Menurut beliau, Allahyarhamah sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap orang di sekelilingnya serta memberikan kasih sayang seperti seorang ibu.
“Kami mengenali Almarhumah sebagai seorang yang sentiasa mengambil berat tentang orang di sekelilingnya dengan kasih sayang seorang ibu.
“Hari ini, negara kehilangan sosok keibuan yang dekat di hati rakyat.
“Sementalahan, kami akan mengenang Kak Hasmah dengan rasa kasih yang mendalam, bersama segala jasa dan kebaikan yang ditinggalkannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran sama, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga Allahyarhamah atas kehilangan insan tersayang.
“Saya dan Azizah mendoakan semoga Allah SWT mengampuni Almarhumah, menerima segala amal baktinya serta mengurniakan ketabahan kepada mereka yang ditinggalkan. Al-Fatihah,” katanya.





