POLIS Bukit Aman selesai mengambil keterangan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dan beberapa individu lain berhubung krisis takhta di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Seremban hari ini.
Bekas Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin berkata, semua Exco diambil keterangan secara berasingan dan mengambil masa sekitar 30 hingga 35 minit setiap seorang.
“Ramai pegawai Bukit Aman yang datang, tapi tiada yang garang-garang dan kita semua berikan kerjasama dengan baik. Buat masa ini mereka hanya ambil keterangan.
“Terdapat lebih 60 soalan dikemukakan dan dijawab, semuanya lebih kepada krisis yang sedang berlaku, kita di Negeri Sembilan ini unik undang-undang tubuhnya tidak sama dengan negeri yang lain. Apa yang kita jawab apa yang kita tahu,” katanya kepada media.
Mohd Asna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, berkata pihaknya dimaklumkan bahawa rakaman keterangan berkenaan tidak hanya melibatkan barisan bekas Exco tetapi pegawai-pegawai lain mungkin juga akan dipanggil.
Beliau juga percaya urusan berkenaan selesai namun pihak Bukit Aman sudah tentu akan memaklumkan sekiranya terdapat keperluan untuk mengambil rakaman kedua selepas ini.
Rakaman keterangan berlangsung kira-kira tiga jam bermula pukul 11 pagi itu berikutan krisis proklamasi yang menyaksikan, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menarik balik pelantikan 10 Exco berkenaan.





