PM, isteri hadir beri penghormatan terakhir kepada Tun Dr Siti Hasmah

DATUK Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah di Seri Kembangan kira-kira jam 4 petang tadi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri menyusul selepas kehadiran pemimpin politik, pegawai kanan kerajaan, tokoh terkemuka dan orang awam yang berkumpul di masjid itu menantikan solat jenazah isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaik tiba, Perdana Menteri dilihat menemui dan bersalaman dengan Dr Mahathir yang berkerusi roda sambil mengucapkan takziah atas pemergian isterinya.

Turut mengiringi pasangan itu ialah Penasihat Politik Kanan Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Orang ramai mula tiba di masjid seawal jam 1 petang dengan suasana hiba menyelubungi pekarangan masjid ketika mereka berkumpul untuk memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Dr Siti Hasmah tiba di masjid jam 2.55 petang selepas dibawa dari kediaman keluarga di The Mines, Seri Kembangan.

Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Selain itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah.

Dr Mahathir tiba lebih awal dengan kenderaan berasingan dan mengenakan baju Melayu putih.

Terdahulu, Anwar mengumumkan Dr Siti Hasmah akan diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara susulan pemergiannya di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman membantu urusan pengebumian.

Sebelum ini, Anwar turut menzahirkan penghormatan kepada Dr Siti Hasmah dengan menyifatkan khidmat dan baktinya kepada negara khususnya kerja kebajikan serta keprihatinannya terhadap kesejahteraan rakyat yang akan sentiasa dikenang.

Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN jam 9.20 pagi tadi. Kematiannya disahkan anak lelakinya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Jenazah dijadualkan dikebumikan di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya selepas solat jenazah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here