KESIHATAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berada dalam keadaan baik, namun masih bersedih selepas kehilangan isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Anak perempuan beliau, Datuk Marina Mahathir berkata, seluruh keluarga kini bersama-sama menemani Tun Dr Mahathir selain menghargai kehadiran orang ramai yang datang memberikan penghormatan dan membaca Yasin.
“Alhamdulillah okey. Tetapi memang dia sedih.
“Jadi kita semua sedang menemani dia sebanyak boleh, siang dan malam,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi pusara Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, hari ini.
Marina berkata, beliau turut terharu dengan kehadiran orang ramai yang masih datang untuk membaca Yasin serta memberikan sokongan kepada keluarga.
“Memang saya berterima kasih. Saya terharu ramai orang masih datang, baca Yasin dan semua.
“Ramai-ramai orang yang datang.. saya tak kenal. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua,” katanya.
Semalam, Tun Siti Hasmah selamat dikebumikan dengan penuh Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi dikebumikan berhampiran pusara isteri bekas Perdana Menteri, Tun Endon Mahmood.





