DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan gesaan segelintir pihak supaya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meletakkan jawatan, sambil menegaskan prestasi menteri berkenaan dalam menjalankan tugas adalah baik.
Perdana Menteri turut mengesahkan beliau telah menerima surat peletakan jawatan Anthony semalam, namun belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.
“Yang tak sakau, nak suruh letak jawatan?. Saya terima surat semalam, saya bergegas ke pengebumian Tun Dr Siti Hasmah.
“Saya nak tanya betul-betul, soal rasuah kita padam, (tapi sekarang) bincang Anthony Loke dulu letak jawatan,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Profesional (PROFEX) 2026 di Pusat Konvensyen KLGCC di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau diminta mengulas gesaan supaya Anthony berundur daripada Kabinet.
Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP hari ini mengesahkan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai anggota Kabinet kepada Anwar semalam.
Bagaimanapun, Anthony dilaporkan berkata, beliau akan meneruskan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat sementara waktu sehingga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pulang bagi menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Beliau menjelaskan, peletakan jawatan berkenaan hanya akan berkuat kuasa pada hari Najib dibebaskan dari Penjara Kajang.
Anwar dalam pada itu berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Anthony terlebih dahulu sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
“Kerja dia baik. Berasaskan sebagai menteri sangat baik. Jadi sebab itu saya akan bincang dengan dia,” katanya.





