Edar 139kg kanabis: Dua penghantar barang dihukum penjara 30 tahun, 12 sebatan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap dua penghantar barang selepas didapati bersalah mengedar 139 kilogram (kg) kanabis, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap S Mohan, 38, dan Ahmad Shamil Abdul Rashid, 28, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memutuskan hukuman penjara itu dikira bermula dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap pada 31 Mei 2022, lapor BH.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 139kg di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Bangsar, Kuala Lumpur kira-kira jam 2 petang pada 31 Mei 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Peruntukan berkenaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ketika mereka didapati mengendalikan dan memindahkan beberapa beg plastik yang mengandungi dadah.

Beg berkenaan dipindahkan dari sebuah Toyota Vellfire ke Proton Preve di kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah terbabit.

Dalam rayuan mitigasi, peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainudin yang mewakili Mohan memohon mahkamah mempertimbangkan tempoh pemenjaraan dengan mengambil kira tempoh anak guamnya berada dalam tahanan sejak 31 Mei 2022.

Beliau berkata, Mohan menyesali perbuatannya selain belum berkahwin dan masih mempunyai tanggungan seorang ibu berusia 57 tahun.

Sementara itu, peguam Muhammad Faiz Fadzil yang mewakili Ahmad Shamil turut memohon supaya tempoh tahanan sejak 2022 dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

Katanya, hukuman berkenaan diharapkan dapat memberi peluang kepada anak guamnya untuk memperbaiki diri dan menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira berat serta jumlah dadah yang dirampas, iaitu 139kg yang disifatkan sebagai jumlah besar.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here