Projek Kuala Lumpur Vertical City: Bekas pegawai kanan Felda didakwa esok

SEORANG bekas pegawai kanan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang sebelum ini disiasat berhubung dakwaan penyelewengan berkaitan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, lelaki berkenaan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 14 di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 9 pagi.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya sudah memperoleh kebenaran untuk mendakwa bekas pegawai kanan Felda terbabit.

Pada 25 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata bekas Ketua Pengarah Felda itu akan didakwa atas satu pertuduhan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Siasatan berkaitan KLVC adalah sebahagian daripada tujuh kertas siasatan membabitkan Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), yang terdiri daripada enam kertas siasatan baharu dan satu siasatan terdahulu.

Kesemua siasatan itu memberi tumpuan kepada urusan pembelian serta pelaburan aset oleh Felda dan FIC antara 2010 hingga 2020 yang disyaki mempunyai unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Dalam perkembangan berkaitan hari ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC, Zaid Abdul Jalil, didakwa menipu lembaga pengarah syarikat itu berhubung cadangan pembangunan komersial tanah milik Felda bagi sebuah projek pada 2014.

Zaid mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here