Kadar gaji minimum: Keputusan belum diambil – Ramanan

KERAJAAN  masih belum membuat keputusan berhubung kadar baharu gaji minimum, termasuk dakwaan ia bakal dinaikkan kepada RM2,000, RM2,100 atau RM2,200.

 Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata sebarang pengumuman mengenai kadar baharu itu, hanya akan dibuat selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri, termasuk Perdana Menteri.

“Saya lihat di luar sana ada pihak yang ‘melompat-lompat’ mahu mengumumkan kadar gaji minimum RM2,000, RM2,100 atau RM2,200. Tunggu Perdana Menteri umum terlebih dahulu memandangkan keputusan masih belum diambil.

“Kertas pertimbangan, kertas memorandum Jemaah Menteri untuk mendapatkan keputusan berhubung kadar gaji minimum, baru sahaja saya letakkan untuk mesyuarat Kabinet akan datang bagi mendapatkan persetujuan Kabinet serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Kehormatan dan Kebesaran Negeri bersempena dengan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V ke-57 di Istana Balai Besar, Kota Bharu hari ini.

Terdahulu, Ramanan mengetuai senarai 767 penerima darjah kebesaran dan pingat bersempena dengan sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-57.

Beliau dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK), yang membawa gelaran Datuk.

Media sebelum ini melaporkan Anwar memaklumkan kadar gaji minimum RM1,700 dijangka dinaikkan, dengan perinciannya akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Okt ini.

Ramanan berkata beliau tidak mengetahui sumber angka kadar baharu gaji minimum yang sedang diperkatakan ketika ini, kerana sebarang keputusan perlu mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu.

“Saya sendiri sebagai Menteri Sumber Manusia tidak mahu komen mengenai jumlahnya, kerana bukan saya seorang yang membuat keputusan. Memang harapan saya untuk meningkatkan gaji sebanyak yang kita boleh,” katanya.

Beliau berkata terdapat pihak termasuk kesatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan gaji minimum dinaikkan sehingga RM3,000 atau RM4,000, namun penetapan kadar itu perlu dibuat berdasarkan formula tertentu serta kajian impak yang menyeluruh.

Ramanan berkata proses berkenaan, melibatkan kumpulan pakar termasuk ahli akademik yang akan meneliti kesan sesuatu kadar sebelum cadangan dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan.

“Walaupun naik RM10 pun ada kesannya. Selepas kajian dibuat, barulah mereka akan sampai kepada satu keputusan, sama ada gaji minimum boleh dinaikkan dan berapa nilainya tanpa memberi kesan kepada ekonomi,” katanya.

Ramanan berkata kerajaan juga perlu mengambil kira kesan kenaikan gaji minimum terhadap inflasi, bagi memastikan sebarang pelarasan yang dibuat benar-benar memberi manfaat kepada pekerja tanpa menjejaskan ekonomi negara.

“Kita juga mahu kawal inflasi. Kalau gaji dinaikkan terlalu tinggi tetapi inflasi turut meningkat, apa perbezaannya? Jadi semua perkara ini perlu dibuat dengan betul,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here