MCMC diminta jelaskan maklum balas Meta berhubung isu akaun WhatsApp

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta memberikan penjelasan berhubung maklum balas Meta mengenai isu akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam atau dinyahaktifkan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau belum menerima perkembangan terbaharu mengenai hasil perbincangan antara MCMC dengan pihak Meta berhubung perkara tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta MCMC mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan tindakan serta respons Meta terhadap isu yang dibangkitkan sebelum ini.

“Saya belum sempat mendapatkan maklumat terkini daripada perbincangan berkenaan.

“Pihak Meta sebelum ini diberikan tempoh sehingga jam 3 petang Isnin lalu untuk mengemukakan maklum balas terhadap perkara yang dibangkitkan MCMC berkaitan penggodaman dan penyahaktifan akaun WhatsApp,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, MCMC menerima perhatian awam berhubung laporan pengguna yang mendakwa akaun WhatsApp mereka diambil alih, disekat atau tidak lagi dapat diakses.

Menurut suruhanjaya itu, aduan yang diterima telah diteliti sebelum kes berkaitan disalurkan kepada Meta untuk mendapatkan penjelasan dan tindakan lanjut.

MCMC turut menegaskan bahawa insiden akaun digodam dan tindakan menyekat akaun merupakan dua perkara yang berbeza.

Dalam kes pengambilalihan akaun, akaun berkenaan berpotensi digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan penipuan, penghantaran spam atau aktiviti lain yang melanggar syarat penggunaan WhatsApp.

Keadaan itu juga boleh menyebabkan akaun terbabit akhirnya dikenakan sekatan oleh pihak platform.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here