![]()
PAS dijangka bertanding antara tujuh hingga 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi bersama Perikatan Nasional (PN) telah diadakan dan satu kerangka agihan telah dibentuk.
Katanya, kerangka berkenaan kini perlu dibawa kepada parti masing-masing untuk mendapatkan pengesahan.
“Setakat ini, (semalam) sedikit perbincangan telah diadakan bersama PN dan perbincangan kerusi pun telah dibuat. Saya rasa kita sudah ada kerangka, cuma perlu dibawa kepada parti masing-masing untuk diendors,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, Pas Melaka juga telah meminta Pas kawasan mengemukakan sekurang-kurangnya tiga nama calon yang berpotensi untuk dibawa ke mesyuarat parti.
Bagaimanapun, katanya semua nama calon berkenaan perlu melalui penelitian dan kelulusan Majlis Syura Ulamak.
“Insya-Allah, Jumaat ini mesyuarat Syura akan memutuskan tentang kelayakan calon. Kita ambil senarai nama, tidak spesifik yang mana, tetapi semua calon mesti diluluskan Syura. Syura akan teliti dahulu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menjelaskan pembahagian kerusi turut mengambil kira prinsip bahawa kerusi yang pernah dimenangi sesebuah parti dikekalkan kepada parti berkenaan.
“Prinsipnya, kerusi yang dimenangi setiap parti itu kekal kepada parti tersebut. Jadi kalau sekiranya kerusi itu dimenangi UMNO dahulu, walaupun calon itu kemudian bersama Pas, prinsipnya kerusi itu tetap diambil kira sebagai kemenangan parti tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu menjadi antara asas yang akan dipertimbangkan dalam perbincangan pembahagian kerusi antara parti dalam PN dan Umno.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti supaya membuat persediaan segera bagi menghadapi pilihan raya di semua kerusi yang berpotensi ditandingi, sama ada berlaku kerjasama atau sebaliknya dengan Umno.
Tuan Ibrahim menambah, persiapan perlu dibuat kerana kedudukan kerjasama antara parti masih bergantung kepada perkembangan semasa dan keputusan pimpinan.
“Kita kena bersedia. Jentera kena bersedia untuk semua kerusi yang kita boleh tandingi kerana kita tidak tahu masa pilihan raya nanti sama ada kerjasama antan Pas dan UMNO benar-benar berlaku atau sebaliknya. Kalau ada kerjasama, kita akan patuhi di atas persetujuan yang dicapai. Kalau tidak ada kerjasama kita akur dan kita akan bertanding. Jadi kita kena bersedia untuk menghadapinya,” katanya.
Beliau berkata, situasi di Melaka juga diharap mempunyai bentuk persefahaman yang serupa seperti Negeri Sembilan.
Menurutnya, persefahaman itu adalah untuk menghadapi pilihan raya, tetapi ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi bersama.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, perbincangan terakhir berhubung persefahaman dengan UMNO dua hari lepas.
Pada masa sama beliau menegaskan jentera parti perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia kerana keputusan akhir mengenai bentuk kerjasama hanya akan diketahui apabila pendirian rasmi dibuat.





