DAP Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa mengaitkan parti itu dengan isu yang berlaku di negeri berkenaan, termasuk institusi diraja Negeri Sembilan.
Pengerusinya, J Arul Kumar berkata, hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook milik Khalide Al Walid itu antara lain mendakwa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mempunyai hubungan dengan DAP selain mengaitkan parti berkenaan dengan isu tanah adat.
Menurutnya, perkara itu dipandang serius kerana membabitkan institusi diraja yang seharusnya tidak dikaitkan dengan mana-mana parti politik.
“Sebagai parti politik, kita biasa menerima kritikan dan tekanan. Namun apabila institusi diraja dikaitkan dengan mana-mana parti politik, perkara itu sudah melampaui batas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban hari ini, lapor Bernama.
Arul berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kandungan hantaran berkenaan, termasuk mengenal pasti pemilik serta latar belakang akaun yang menerbitkannya.
Katanya, tindakan sewajarnya juga diharap dapat diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat kesalahan di bawah undang-undang.
Selain isu tanah adat, beliau berkata, hantaran tersebut turut mengaitkan DAP dengan kehadiran wakil rakyat parti itu pada taklimat berkaitan agama serta isu pertukaran nama jalan.
Mengulas dakwaan berkaitan tanah adat, Arul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai berkata, sepanjang tempoh lapan tahun beliau berkhidmat sebagai Exco kerajaan negeri sebelum ini, isu pemindahan milik tanah adat tidak pernah dibincangkan.
Berhubung kehadiran wakil rakyat DAP dalam taklimat di Pejabat Agama pula, beliau menjelaskan ia dilakukan atas kapasiti mereka sebagai wakil rakyat.
Katanya, kehadiran itu bertujuan mendapatkan maklumat untuk disampaikan kepada pengundi dan penduduk, khususnya masyarakat Islam di kawasan masing-masing.
Sementara itu, mengenai pertukaran nama jalan, Arul berkata, perkara tersebut diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan tidak seharusnya dikaitkan dengan mana-mana parti politik.
Beliau berkata, DAP tidak mahu isu berkenaan dipolitikkan atau parti itu dijadikan pihak yang dikaitkan dengan perkembangan semasa di Negeri Sembilan.
“Yang penting sekarang ialah krisis yang berlaku di Negeri Sembilan perlu diselesaikan dengan segera supaya pentadbiran negeri dapat terus berfungsi dengan baik,” katanya.





