`Saya tak mahu lihat KLIA jadi macam Selayang’ – Mohd Shuhaily pertahankan peranan AKPS

AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) tidak akan membiarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi lokasi kegiatan sindiket warga asing atau aktiviti jenayah.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pendirian itu selari dengan tanggungjawab agensi berkenaan dalam memperkukuh kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara.

Menurutnya, penubuhan AKPS bukan sekadar memenuhi keperluan pentadbiran, sebaliknya membawa amanah besar untuk memastikan keselamatan serta integriti sempadan negara sentiasa terpelihara.

“Saya tidak mahu lihat KLIA jadi macam Selayang. Saya tidak mahu membiarkannya jadi macam itu,” katanya ketika mengulas isu sindiket warga asing di KLIA dalam sidang media di Putrajaya hari ini, lapor Harian Metro.

Mohd Shuhaily berkata, AKPS akan terus mengambil langkah bagi memperbaiki aspek keselamatan dan kemudahan di pintu masuk negara, termasuk menangani sebarang bentuk kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan.

Beliau turut menghargai sokongan serta pandangan pelbagai pihak yang menggesa usaha memperkukuh kawalan di pintu masuk negara diteruskan.

Katanya, perkara itu menjadi antara dorongan untuk beliau dan warga AKPS memastikan perubahan dapat dilaksanakan secara berterusan.

“Saya amat menghargainya dan itulah semangat yang saya pegang untuk terus berusaha mengubah prasarana ataupun keselamatan di pintu masuk negara.

“Kerajaan menubuhkan AKPS ada sebab, bukan suka-suka,” katanya.

Beliau menegaskan, AKPS akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan bagi memastikan pintu masuk negara tidak dimanipulasi oleh mana-mana sindiket atau pihak yang menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here