SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman pengurus sebuah agensi menawarkan perkhidmatan kewangan dan korporat kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai bernilai kira-kira RM200 juta.
Perintah reman tiga hari hingga Sabtu terhadap lelaki berusia lingkungan 40an itu dikeluarkan Majistret Illya Syaheedah Mohd Razif susulan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

“Lelaki itu ditahan kira-kira 7 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini,” menurut SPRM.
Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu disyaki melakukan perbuatan berkenaan antara 2018 hingga tahun ini.
Dia dipercayai memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa selain memanipulasi kira-kira 480 akaun syarikat menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai, selain mengumpul kekayaan melalui aktiviti berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.





