PEMERGIAN Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali masih meninggalkan kesan mendalam kepada pasukan perubatan yang menjaga beliau dan suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak lima tahun lalu.
Ketua jururawat yang mengetuai pasukan berkenaan, K Divya Barathy, 30, berkata, Allahyarham sempat menyampaikan ucapan penghargaan kepada mereka sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu.
Menurut Divya, Allahyarham ketika itu seolah-olah menyedari masanya semakin hampir dan turut mengucapkan terima kasih atas penjagaan diberikan kepada beliau serta Dr Mahathir.
“Sehari sebelum pemergiannya, Tun Hasmah ada menyampaikan bahawa sudah tiba masanya untuk beliau pergi. Beliau juga berterima kasih kerana kami menjaganya dan suami. Saya menjawab, ‘Janganlah cakap begitu Tun’.
“Saya tidak menyangka bahawa keesokan paginya, beliau akan pergi. Kata-kata itu masih terngiang-ngiang dalam ingatan saya sehingga kini. Kehilangan ini sangat berat untuk saya terima,” katanya, lapor BH.
Divya berkata, sepanjang tempoh berkhidmat menjaga pasangan berkenaan, beliau dibantu tiga jururawat iaitu Tiffany Chen Kah Lim, 28, M Suganya, 29, dan Nur Shahnila Amyra Mohd Saad, 31.
Pasukan itu turut mendapat bantuan fisioterapis Choo Zhang Hui atau Kevin Choo, 31.
Mengimbas keadaan Dr Mahathir ketika berada di sisi jenazah isterinya, Divya berkata, pasukan berkenaan memberi perhatian kepada keselesaan dan keperluan beliau.
“Kami membantu menjaga kebersihan tangan, mengurut perlahan kakinya untuk keselesaan dan sentiasa berada berhampiran.
“Saya sendiri rasa sukar untuk sekadar berkata, ‘Tak apa, Tun’ atau ‘Tun kena kuat’, kerana saya melihat betapa eratnya kasih sayang mereka.
“Saya tidak mahu mengecilkan kesedihan beliau dengan kata-kata yang terlalu mudah. Pada waktu itu, kami hanya mahu beliau tahu bahawa kami ada di sisinya,” katanya.
Divya turut merakamkan penghargaan terhadap orang ramai yang memberikan sokongan dan kata-kata baik kepada pasukan perubatan serta keluarga Dr Mahathir.
“Penjagaan pasangan itu adalah usaha seluruh pasukan kami. Saya bersyukur dapat menjalankan tanggungjawab ini bersama mereka dengan penuh kasih sayang.
“Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan saya dan pasukan peluang untuk berkhidmat kepada mereka.
“Selain penghormatan untuk menjaga legenda negara kita, saya akan sentiasa menghargai kehangatan dan kasih sayang yang kami kongsikan bersama mereka,” katanya.
Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi Isnin lalu. Pemergiannya disahkan anak lelakinya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Jenazah Allahyarham kemudian dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya selepas disolatkan di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan.




