Skuad skuasy lelaki julang emas ke-9 Malaysia di Aichi-Nagoya

PASUKAN skuasy lelaki negara menambah satu lagi pingat emas buat kontinjen Malaysia selepas menewaskan Pakistan 2-0 dalam aksi final berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Arena Nagoya Kinjo Futo, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia kembali meraih emas acara berpasukan lelaki selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Lebih manis, kejayaan berkenaan hadir pada hari sama pasukan wanita negara mempertahankan kejuaraan berpasukan dengan menewaskan Hong Kong 2-1.

Skuad skuasy kini menyumbang empat pingat emas kepada kontinjen negara pada temasya kali ini, selepas Ng Eain Yow dan S Sivasangari terlebih dahulu muncul juara acara perseorangan lelaki dan wanita.

Dalam aksi final lelaki, C Ameeshenraj membuka tirai kemenangan Malaysia selepas bangkit daripada ketinggalan pada set pertama untuk menundukkan Nasir Iqbal 8-11, 11-3, 11-6, 11-4.

Eain Yow kemudian melengkapkan kemenangan pasukan negara selepas melalui pertarungan sengit menentang Noor Zaman.

Beliau akhirnya menewaskan lawannya 11-8, 6-11, 7-11, 11-4, 11-5 sekali gus mengesahkan kejuaraan buat Malaysia.

Kemenangan itu turut menyaksikan Malaysia menyamai rekod sembilan pingat emas, iaitu jumlah terbaik negara dalam satu edisi Sukan Asia sejak pencapaian sama dicatat pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here