POLIS Daerah Kulai sedang memburu seorang lelaki berstatus Orang Bebas Berlesen (OBB) yang dipercayai meninggalkan daerah parol Johor Bahru tanpa kebenaran dan gagal dikesan sejak 15 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan lelaki berkenaan daripada pegawai penjara pada 17 September lalu.
“Lelaki terbabit dikenali sebagai Hari Raj a/l Suresh, 30, dengan alamat terakhir di Jalan Desa 2, Taman Desa Kulai.
“Dia mempunyai berat kira-kira 60 kilogram, muka bulat, hidung kemek, rambut botak dan berkulit hitam manis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, OBB berkenaan dipercayai tidak dapat dikesan oleh Pegawai Penyeliaan Parol Daerah Johor Bahru selepas meninggalkan kawasan parol tanpa kebenaran.
“Lelaki terbabit disyaki meninggalkan daerah parol Johor Bahru tanpa kebenaran dan sehingga laporan polis dibuat, dia masih tidak pulang serta gagal dikesan.
“Pengadu turut berusaha mencari dan mengesannya di beberapa lokasi, namun gagal,” katanya.
Seng Lee berkata, susulan kegagalan mengesan lelaki itu, Hari Raj kemudiannya didaftarkan sebagai individu dikehendaki.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki berkenaan diminta menghubungi Ketua Balai Polis Kulai, Inspektor Abdul Mustafa Kamal Md Said atau Pusat Kawalan Daerah IPD Kulai di talian 07-663 2222.





