POLIS sedang mengesan individu yang memandu sebuah Perodua Myvi secara melawan arus di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), berhampiran susur keluar Persimpangan Bandar Senai, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, hasil siasatan mendapati kenderaan terbabit dipercayai disewakan kepada individu lain ketika kejadian.
Menurutnya, pihak polis sudah mengenal pasti pemilik kereta berkenaan, namun individu itu kini tidak berada di daerah Kulai.
“Kami sudah mengesan pemilik kenderaan. Kini, penyewa sedang dikesan dan tindakan susulan akan diambil,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, rakaman kejadian yang tular di Facebook memaparkan sebuah Myvi berwarna merah dipandu bertentangan dengan arah aliran trafik di lebuh raya berkenaan.
Tindakan itu menyebabkan beberapa pengguna jalan raya berada dalam situasi berbahaya apabila terpaksa mengelak kenderaan terbabit bagi menghindari perlanggaran.
Antara kenderaan yang dilihat cuba mengelak termasuk sebuah treler, manakala insiden berkenaan turut mencetuskan keadaan cemas dalam kalangan pengguna lebuh raya.





