‘Kami baru nak mengarang muka surat pertama’ – Syed Saddiq

PERJALANAN rumah tangga Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang mencecah kira-kira 70 tahun disifatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai sebuah kisah cinta yang sukar dibandingkan dengan dirinya dan Bella Astillah.

Syed Saddiq berkata, beliau dan Bella masih berada di peringkat awal dalam membina kehidupan bersama, berbanding pasangan negarawan itu yang sudah melalui puluhan tahun kehidupan sebagai suami isteri.

“Saya rasa kami tidak layak untuk dibandingkan dengan mereka berdua. Tidak dekat pun, tidak sampai satu peratus. Kerana kami ni baru nak berkahwin, nak menghalalkan hubungan. Mereka sudah 70 tahun, 70 tahun meraikan cinta dan kebijaksanaan bersama.

“Kami baru nak mengarang muka surat pertama. Mereka bukan mengarang muka surat pertama, mungkin dah ada perpustakaan sendiri yang boleh kongsikan kisah cinta mereka. Bukan satu buku, dah beribu buku dah,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian dalam sidang media Walimatulurus Syed Saddiq dan Bella Astillah di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara hari ini, lapor Astro Awani.

Menurut Syed Saddiq, perbandingan yang dibuat antara kedua-dua pasangan itu mungkin lahir daripada niat yang baik.

Bagaimanapun, katanya, perkara yang boleh dilakukan olehnya dan Bella hanyalah mengambil perjalanan kehidupan Tun Dr Mahathir dan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah sebagai inspirasi untuk membina rumah tangga mereka sendiri.

“Apa yang kami boleh buat adalah untuk mendapat sedikit semangat inspirasi daripada mereka.

“Walaupun satu peratus pun dapat kebaikan dan jasa yang mereka dapat sumbangkan, itu pun merupakan nikmat yang luar biasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mengajak orang ramai mendoakan agar Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Beliau pada masa sama berharap Tun Dr Mahathir diberikan kekuatan untuk melalui kehilangan insan yang disayanginya serta dipermudahkan urusan bagi mendapatkan kesembuhan.

Syed Saddiq dan Bella dijadual melangsungkan akad nikah pada 10 Oktober ini.

Pasangan itu kemudian akan mengadakan majlis resepsi di Kuala Lumpur pada 18 Oktober sebelum meneruskan sambutan perkahwinan menerusi Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here