Rakan sifatkan Irene Sofiya pelajar cemerlang, mampu raih semua A dalam SPM

RAKAN Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, pelajar Tingkatan Empat yang meninggal dunia semalam, menyifatkan arwah sebagai seorang pelajar cemerlang yang berpotensi memperoleh semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Menurut rakan sekelasnya yang berusia 16 tahun, Irene Sofiya merupakan antara pelajar terbaik di sekolah berkenaan selain seorang yang sangat fokus terhadap pembelajaran dan aktif dalam aktiviti sekolah.

“Ketika kelas tambahan berlangsung semalam, dia tiada dalam kelas. Kami sangkakan dia tidak hadir kerana tidak sihat,” katanya ketika ditemui media, lapor BH.

Menurutnya, seorang guru ada bertanyakan mengenai ketidakhadiran Irene Sofiya, namun rakan-rakan ketika itu tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

“Saya pun baru mendapat tahu arwah tidak pulang ke rumah. Jadi ketika itu, saya tidak terfikir ada perkara yang bukan-bukan berlaku terhadapnya.

“Sebelum itu, ada pelajar perempuan mengesyaki sesuatu tetapi mereka tidak memberitahu lanjut,” katanya.

Katanya, seorang guru kemudian menghubungi pelajar selepas Maghrib bagi bertanyakan waktu kelas tambahan bermula dan berakhir.

“Saya pelik dan bertanya hal itu kepada guru. Guru terbabit akhirnya memberitahu sesuatu yang buruk telah berlaku di sekolah ketika itu.

“Saya terkejut dan tidak menjangka kejadian itu boleh berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai arwah, rakan berkenaan berkata, Irene Sofiya sangat komited terhadap pelajaran dan sentiasa memberikan tumpuan ketika belajar.

“Dia fokus dalam pembelajaran dan aktif dalam aktiviti sekolah. Kerana itulah, kami seperti tidak percaya apa yang berlaku terhadapnya.

“Kami masih terbayang wajahnya dan tidak sangka akan kehilangannya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam, Irene Sofiya ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada badan di dalam dewan sekolahnya.

Mangsa ditemukan nenek dan rakannya yang datang ke sekolah selepas menyedari dia tidak pulang ke rumah walaupun kelas tambahan sudah berakhir.

Difahamkan, Irene Sofiya tinggal bersama neneknya selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.

Ketika ditemui, terdapat kesan darah kering pada badan mangsa selain lebam yang dipercayai seperti akibat dipukul.

Sebuah pasu pecah turut ditemukan berhampiran mangsa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here