Polis terima laporan baharu terhadap penceramah motivasi

WALAUPUN dijangka dibebaskan dengan jaminan polis petang ini, seorang penceramah motivasi berkemungkinan akan ditahan semula susulan polis menerima satu lagi laporan terhadapnya berhubung dakwaan gangguan seksual.

Kali ini, polis menerima aduan daripada seorang wanita berusia 19 tahun ke atas penceramah motivasi berusia 34 tahun itu yang sudah berkahwin.

Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, laporan itu diterima semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Menurutnya, penceramah berkenaan kini masih dalam tahanan reman bagi kes berasingan yang disiasat menerusi laporan polis di Padang Besar, dengan tempoh reman tamat hari ini.

“Suspek akan diberi jamin polis dan tindakan tangkapan semula akan dilakukan oleh Pasukan Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kangar bagi tindakan selanjutnya.

“Suspek akan dibawa untuk mendapatkan permohonan reman oleh pegawai penyiasat kes pada 5 Oktober di Mahkamah Majistret Kangar bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, penceramah motivasi bebas itu direman dua hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata, penceramah terbabit dijangka akan dibebaskan dengan jaminan polis petang ini apabila tempoh reman ke atas tamat hari ini.

Lelaki berkenaan ditahan di Sungai Petani, Kedah, kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu sebelum dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar bagi permohonan reman.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here