POLIS merampas sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan sepasang selipar milik seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Yong Peng semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat kira-kira jam 7 malam tadi.
Menurutnya, suspek ditahan di sekitar Yong Peng selepas polis menerima maklumat mengenai penemuan seorang pelajar perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah sekolah.
“Semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Turut dirampas daripada suspek adalah sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan sepasang selipar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, suspek hari ini dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Mahkamah membenarkan suspek ditahan selama enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober bagi membantu polis melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang semalam, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan seorang pelajar perempuan di dalam sebuah dewan sekolah di Yong Peng.
Mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan dengan beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif dan punca kejadian selain menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.





