
KEMATIAN tragis pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemukan tidak bernyawa di sebuah sekolah menengah di Yong Peng semalam, seharusnya menjadi renungan besar kepada seluruh masyarakat.
Pelajar berusia 16 tahun itu yang dipercayai berada di sekolah untuk mengikuti kelas tambahan ditemukan di dewan sekolah dalam keadaan kritikal petang semalam sebelum di sahkan meninggal dunia, polis kini giat menjalankan siasatan dan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun telah direman enam hari bagi membantu siasatan.
Persoalan paling besar bukan semata-mata siapa yang bersalah kerana perkara itu sedang ditentukan melalui siasatan polis, tetapi bagaimana sebuah sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak belajar boleh dikaitkan dengan kejadian sedemikian? Jika sekolah tidak lagi dirasakan selamat oleh murid, guru dan ibu bapa, maka kita berdepan persoalan lebih besar mengenai ekosistem pendidikan.
Satu perkara yang kembali menjadi perbualan adalah kuasa guru dalam mendisiplinkan murid. Adakah sudah tiba masanya kuasa guru untuk merotan, dalam keadaan dan garis panduan yang sangat ketat, diperkasakan semula? Hakikatnya, kuasa merotan bukan sesuatu yang sama sekali tidak wujud dalam sistem pendidikan Malaysia kerana peraturan Kementerian Pendidikan masih menetapkan keadaan dan pihak tertentu yang boleh melaksanakan hukuman itu.
Namun, persoalannya bukan sekadar sama ada rotan perlu dikembalikan atau tidak. Persoalan lebih besar ialah adakah guru hari ini mempunyai ruang yang mencukupi untuk bertindak sebelum salah laku kecil berubah menjadi masalah disiplin yang lebih serius?. Guru perlu mempunyai autoriti yang jelas, tetapi pada masa sama tindakan mereka mesti tertakluk kepada garis panduan dan pemantauan supaya tidak berlaku penyalahgunaan kuasa.
Di sinilah timbul keluhan sebahagian pendidik dan masyarakat. Apabila guru mengambil tindakan terhadap murid, adakalanya tindakan itu dipersoalkan pula oleh ibu bapa. Guru yang sepatutnya menjadi orang dewasa kedua yang membantu membentuk disiplin anak akhirnya berada dalam keadaan serba salah. Jika terlalu tegas, dikatakan keterlaluan; jika terlalu longgar, guru pula dipersoalkan apabila disiplin murid semakin merosot.
Namun, kita juga perlu berhati-hati untuk tidak melihat rotan sebagai jawapan kepada semua masalah disiplin. Hukuman fizikal semata-mata tidak semestinya membina rasa hormat atau empati dalam diri seorang remaja. Jika kuasa disiplin mahu diperkasakan, ia mesti datang bersama prosedur, akauntabiliti, pemantauan dan pendekatan pendidikan yang jelas.
Kita juga tidak boleh menafikan bahawa pelajar hari ini membesar dalam dunia yang jauh berbeza daripada generasi 1960-an, 1970-an dan 1980-an. Dahulu, guru merupakan antara autoriti paling kuat dalam kehidupan seorang murid. Hari ini, seorang remaja mempunyai akses kepada dunia yang jauh lebih luas melalui telefon pintar, media sosial, kandungan penstriman dan komuniti dalam talian.

Tetapi mengatakan generasi hari ini semata-mata `tidak takut guru’ juga terlalu mudah. Persoalan sebenarnya adalah apakah bentuk autoriti yang masih berkesan dalam mendidik remaja moden. Hormat tidak sepatutnya hanya lahir kerana takut dihukum. Ia perlu dibina melalui ketegasan yang konsisten, hubungan guru-murid yang sihat, sempadan yang jelas dan sokongan ibu bapa yang seiring dengan sekolah.
Di sinilah peranan ibu bapa juga perlu dilihat dengan jujur. Apabila anak melakukan kesalahan, adakah kita mahu terus mempertahankan anak kerana takut mereka terasa tertekan, atau kita sanggup mendengar penjelasan guru dan membimbing anak memahami kesilapan?. Sekolah tidak mungkin membentuk disiplin seorang anak secara bersendirian jika mesej yang diterima di rumah bertentangan dengan mesej yang disampaikan di sekolah.
Media sosial pula membuka satu lagi dimensi yang lebih rumit. Remaja hari ini terdedah kepada kandungan yang menunjukkan aksi melawan autoriti, budaya menunjuk keberanian dan keinginan untuk menjadi perhatian. Drama seperti High Council, misalnya, boleh menjadi bahan perbincangan mengenai bagaimana konflik, hierarki dan budaya remaja digambarkan dalam kandungan hiburan. Namun, tidak wajar untuk terus menyimpulkan bahawa tontonan drama tertentu menyebabkan seseorang melakukan jenayah.
Begitu juga dengan permainan video yang mempunyai unsur keganasan. Tidak adil untuk mengatakan seorang remaja menjadi ganas hanya kerana bermain permainan video. Namun, pendedahan berlebihan kepada kandungan tertentu, apabila bergabung dengan faktor lain seperti masalah keluarga, tekanan rakan sebaya, kawalan emosi yang lemah dan kurang pemantauan, wajar diberi perhatian oleh ibu bapa serta pihak sekolah.
Sebab itu kita tidak boleh mencari satu kambing hitam untuk menjelaskan semua kejadian yang berlaku di sekolah. Masalah disiplin remaja boleh berpunca daripada gabungan pelbagai faktor, termasuk persekitaran keluarga, rakan sebaya, media sosial, kesihatan mental, budaya buli dan bagaimana sistem sekolah mengesan serta menangani tanda-tanda awal tingkah laku berisiko.
Yang perlu dipersoalkan ialah sama ada sistem kita cukup pantas mengenal pasti murid yang mempunyai masalah tingkah laku sebelum keadaan menjadi lebih serius. Adakah guru mempunyai saluran yang mudah untuk melaporkan kebimbangan? Adakah kaunselor mempunyai masa dan sumber mencukupi? Adakah ibu bapa segera dipanggil apabila wujud tanda-tanda tertentu? Dan paling penting, adakah setiap aduan murid benar-benar didengar?.
Kematian Irene Sofiya juga mengingatkan kita bahawa keselamatan sekolah bukan sekadar memasang kamera atau menambah pengawal keselamatan. Ia melibatkan kawalan keluar masuk, rondaan, rekod kehadiran, pengawasan ketika kelas tambahan, kawasan yang tersorok, sistem aduan serta keberanian murid melaporkan perkara mencurigakan. Semua aspek ini perlu dilihat secara menyeluruh jika sekolah mahu benar-benar menjadi kawasan selamat.
Jika sekolah gagal memberikan rasa selamat, kesannya bukan hanya kepada mangsa atau keluarga yang kehilangan anak. Ia turut memberi kesan kepada ribuan murid lain yang setiap hari melangkah masuk ke pagar sekolah. Mereka perlu yakin bahawa guru akan melindungi mereka, rakan tidak akan mencederakan mereka dan sebarang ancaman akan ditangani dengan segera.
Tragedi kematian Allahyarham Irene Sofiya tidak seharusnya hanya berakhir dengan penahanan suspek dan selesainya siasatan. Ia perlu menjadi titik untuk kita menilai semula seluruh ekosistem sekolah. Kuasa guru, peranan ibu bapa, disiplin murid, pengaruh media, kesihatan mental dan tahap keselamatan.
Persoalannya bukan semata-mata sama ada rotan perlu dikembalikan, tetapi bagaimana kita mengembalikan kewibawaan guru, ketegasan disiplin dan rasa selamat di sekolah tanpa mengabaikan hak serta kebajikan anak-anak kita.
al-Fatihah untuk Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal





