Kes bunuh Irene Sofiya: KPM nafi mangsa diheret dari surau, sahkan dewan tiada CCTV

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang ditemukan maut selepas disyaki dibunuh di dewan sebuah sekolah di Yong Peng kelmarin, diheret dari surau ke tempat kejadian, seperti yang tular dalam media sosial.

Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek turut menafikan dakwaan terdapat cermin yang pecah di surau yang dikaitkan dengan kejadian itu.

“Jadi, ini semua tidak benar. Saya minta semua pihak berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu.

“Kita sedang bercakap mengenai seorang anak yang sudah meninggal dunia, sebuah keluarga yang sedang berduka dan beberapa orang murid bawah umur yang sedang melalui proses siasatan.

“Jadi jangan kita menambah luka dengan spekulasi,” katanya dalam sidang media berkaitan kematian Allahyarham Irene Sofiya di Parlimen hari ini, lapor BH.

Media semalam melaporkan, Allahyarham Irene Sofiya ditemukan tidak bernyawa di kawasan dewan sebuah sekolah di Yong Peng kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Mangsa dipercayai hadir ke sekolah untuk mengikuti kelas tambahan sebelum ditemukan dalam keadaan berlumuran darah oleh neneknya, Jameyah Rabani, 66, bersama rakan mangsa selepas menyedari Irene tidak pulang ke rumah.

Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas Allahyarham Irene Sofiya telah direman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek ditahan kira-kira jam 7 malam hari kejadian di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian.

Sementara itu, Fadhlina memberitahu, dewan sekolah, iaitu lokasi Allahyarham Irene Sofiya ditemukan maut selepas disyaki dibunuh tidak dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).

Menurut beliau, sekolah menengah di Yong Peng itu mempunyai CCTV, namun ia tidak dipasang di tempat kejadian jenayah itu berlaku.

“Sekolah itu ada CCTV. Cuma CCTV itu tidak dipasang di tempat kejadian jenayah itu berlaku.

“Sebab itu saya kata, selain daripada fasa-fasa itu, mana-mana sekolah yang mempunyai CCTV tidak berfungsi atau rosak, sila maklumkan kepada kita untuk ditambah baik agar ia berfungsi untuk merakam dan merekodkan kejadian-kejadian di sekolah,” katanya.

Fadhlina bagaimanapun berkata, CCTV bukan penyelesaian menyeluruh kepada aspek keselamatan sekolah kerana ia turut bergantung kepada rondaan, kawalan keluar masuk, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), disiplin serta kepekaan warga sekolah.

“CCTV bukan penyelesaian tuntas kepada keselamatan sekolah. Ia membantu pemantauan dan siasatan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here