POLIS sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai merempuh seorang anggota polis ketika sekatan jalan raya di Jalan Padungan di Kuching awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sedang melaksanakan tugas penguatkuasaan sekatan jalan raya.
Menurutnya, dua suspek berkenaan dipercayai menaiki sebuah motosikal ketika kejadian berlaku.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson pada masa sama meminta orang ramai supaya tidak membuat andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan kejadian tersebut.
Beliau berkata individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kuching di talian 082-244 444.
Satu rakaman video berdurasi 39 saat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan kini tular dalam media sosial selepas dirakam oleh orang awam.
Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti serta mengesan kedua-dua lelaki terbabit.





