Polis tahan tiga wanita disyaki ejen ‘bookie’ Piala Dunia FIFA

POLIS menahan tiga wanita disyaki menjadi ejen pertaruhan haram bola sepak Piala Dunia FIFA 2026, menerusi tiga operasi berasingan di sekitar bandar raya Kuching semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan dilakukan pasukan Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Menurut beliau, dalam operasi itu, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk telefon bimbit, dokumen berkaitan pertaruhan, peralatan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti perjudian serta wang tunai.

“Tiga wanita yang ditahan itu berusia antara 25 hingga 45 tahun, terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga asing. Hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah.

“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dijalankan menggunakan platform dalam talian yang dipercayai menawarkan pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026,” katanya, lapor BH.

Alexson berkata, kesemua suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Dua daripada suspek warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, selain sebatan tidak melebihi enam kali, katanya.

Beliau memaklumkan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan perjudian yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mendatangkan implikasi sosial kepada masyarakat.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian supaya menyalurkannya kepada Pusat Gerakan IPD Kuching atau mana-mana balai polis berhampiran.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img