Pastikan tragedi Irene Sofiya tidak berulang – Muhyiddin

BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasssin menegaskan kematian Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal  tidak boleh berakhir dengan ucapan takziah semata-mata.

Sebaliknya tegas beliau, kita mesti memastikan tragedi seperti itu tidak berulang dan setiap anak yang melangkah ke sekolah dapat belajar dalam suasana yang selamat serta pulang ke pangkuan keluarga mereka dengan selamat.

Sehubungan itu Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan segera bagi menentukan apa yang sebenarnya berlaku.

‘’Terdapat unsur jenayah atau kecuaian, tindakan sewajarnya mesti diambil mengikut undang-undang tanpa mengira siapa yang terlibat.

‘’ Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan tidak harus menunggu sehingga siasatan selesai untuk mengambil langkah pencegahan. Sebarang kelemahan dalam aspek keselamatan, pemantauan, disiplin serta pengurusan buli dan keganasan di sekolah mesti dikenal pasti dan diperbaiki segera,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin  menyeru Kementerian Pendidikan melaksanakan audit menyeluruh terhadap sistem keselamatan dan mekanisme pencegahan buli di sekolah, termasuk keberkesanan saluran aduan dan tindakan susulan terhadap setiap laporan.

‘’Sebarang tanda buli, ugutan, gangguan atau ancaman terhadap keselamatan pelajar mesti dipandang serius dan ditangani sebelum keadaan menjadi lebih buruk. Dalam masa yang sama, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta menghormati keluarga Allahyarhamah dan proses siasatan,’’ katanya.

Muhyiddin  merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh keluarga Allahyarhamah.

‘’Kehilangan seorang anak pada usia yang begitu muda merupakan ujian yang amat berat. Semoga keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran menghadapi dugaan ini. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Irene Sofiya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here