Belanjawan 2027: Jangan lupa RMK13 dan ekonomi MADANI

ANDA masih ingat Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Ekonomi MADANI? Soalan ini penting ketika negara menunggu pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.

Kita perlu memahami terlebih dahulu bahawa belanjawan tahunan ialah perancangan fiskal kerajaan bagi tahun yang akan datang – berapa hasil yang dijangka dikutip, dari mana hasil itu diperoleh, berapa yang akan dibelanjakan dan ke mana peruntukan tersebut disalurkan.

Namun, belanjawan tahunan bukanlah keseluruhan perancangan pembangunan sosioekonomi negara. Perancangan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun digariskan melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Maka, Belanjawan 2027 bukan sekadar belanjawan untuk tahun kedua. Ia juga merupakan instrumen penting untuk memastikan agenda dan keutamaan RMK13 terus dilaksanakan. Persoalannya, sejauh mana kita masih memberi perhatian kepada RMK13?

RMK13 mempunyai empat tonggak dan 27 keutamaan yang merangkumi pelbagai aspek pembangunan negara. Apakah yang sudah dicapai? Apakah yang masih dalam pelaksanaan? Apakah yang perlu dipercepatkan? Dan apakah yang perlu disesuaikan berdasarkan perkembangan ekonomi serta geopolitik semasa?

Persoalan ini penting kerana rancangan lima tahun tidak dilaksanakan dalam keadaan ekonomi yang statik.

Perubahan harga komoditi, ketidaktentuan ekonomi global, konflik geopolitik, perubahan teknologi dan cabaran rantaian bekalan boleh mempengaruhi perancangan negara.

Belanjawan tahunan menjadi ruang untuk kerajaan menyesuaikan pelaksanaan tanpa mengabaikan matlamat besar yang telah ditetapkan dalam RMK13. Jangan sampai belanjawan tahunan menenggelamkan rancangan lima tahun.

Dalam setiap pembentangan belanjawan, perhatian rakyat lazimnya tertumpu kepada jumlah peruntukan, subsidi, bantuan, cukai, gaji, projek dan pelbagai pengumuman baharu. Semua itu penting.

Tetapi ada satu persoalan yang lebih besar: Ke manakah semua perbelanjaan dan inisiatif itu membawa negara? Jawapannya sepatutnya dapat dilihat dalam kerangka RMK13 dan Ekonomi MADANI.

Kerajaan memperkenalkan Ekonomi MADANI pada 2023 dengan tiga teras utama – Menaikkan Siling, Menaikkan Lantai dan Memperkukuh Tatakelola Baik.

Selepas hampir tiga tahun, rakyat juga wajar mengetahui sejauh mana aspirasi tersebut telah diterjemahkan dalam bentuk pencapaian sebenar. Bagaimana usaha menaikkan siling diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, daya saing, pelaburan dan penciptaan nilai?

Bagaimana menaikkan lantai diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat? Dan bagaimana tatakelola baik diterjemahkan kepada kecekapan, integriti dan akauntabiliti?

Dasar tidak sepatutnya hanya diingati ketika dilancarkan. Ia perlu dipantau selepas dilaksanakan.

Begitu juga RMK13. Jangan hanya disebut ketika dibentangkan dan kemudian kembali menjadi perhatian apabila tiba Kajian Separuh Penggal atau ketika rancangan lima tahun berikutnya mahu diperkenalkan.

Rakyat perlu tahu kedudukan kita dari semasa ke semasa. Bukan sekadar berapa banyak yang dibelanjakan, tetapi apa yang telah dicapai hasil daripada perbelanjaan tersebut. Sebab itu Belanjawan 2027 wajar dilihat dalam konteks yang lebih luas. Ia bukan hanya tentang angka hasil dan perbelanjaan untuk satu tahun.

Ia juga perlu menjelaskan bagaimana peruntukan tahun kedua RMK13 akan membantu mencapai sasaran pembangunan negara serta meneruskan agenda Ekonomi MADANI.

Dalam erti kata lain, rakyat bukan sahaja mahu mengetahui apa yang kerajaan belanjakan pada 2027, tetapi juga apa yang kerajaan mahu capai menjelang 2030 dan seterusnya.

Inilah yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada naratif besar Belanjawan 2027. RMK13 sudah bermula. Ekonomi MADANI pula sudah memasuki tahun ketiga. Jangan biarkan kedua-duanya hilang daripada radar hanya kerana perhatian kita setiap tahun tertumpu kepada angka belanjawan.

Belanjawan 2027 seharusnya menjadi jambatan antara perancangan fiskal tahunan, pelaksanaan RMK13 dan aspirasi Ekonomi MADANI. Akhirnya, ukuran kejayaan bukan semata-mata berapa besar peruntukan yang diumumkan. Yang lebih penting ialah apa hasilnya kepada negara dan rakyat.

Sama-sama kita ikuti perbincangan pra-Belanjawan dan pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.  Dan selepas pembentangan itu nanti, jangan lupa untuk terus bertanya: Di mana kedudukan kita dalam RMK13? Sejauh mana Ekonomi MADANI telah dicapai? Dan ke mana hala tuju negara selepas ini?

MINDA UKM: Bersama Membangunkan Negara



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here