KEMUNCULAN buaya yang kerap menghampiri kawasan penempatan penduduk membawa kepada operasi menangkap tiga reptilia berkenaan di Batang Igan berhampiran Ulu Kampung Kebuaw di Sibu sejak hujung minggu lalu.
Lebih menarik perhatian, salah seekor buaya yang berjaya ditangkap berukuran 4.75 meter panjang dengan anggaran berat mencecah 500 kilogram (kg).
Pemburu buaya berlesen, Jeferry Siew Seng Kwong berkata, buaya terbesar itu berjaya ditangkap kira-kira jam 2.30 pagi tadi menerusi operasi membabitkan empat anggota pasukannya dengan bantuan penduduk kampung.
Menurutnya, penduduk sebelum ini meminta bantuan selepas beberapa ekor buaya dikesan kerap muncul berhampiran kawasan berkenaan.
“Kehadiran buaya di kawasan itu menimbulkan kebimbangan penduduk, malah terdapat kejadian reptilia berkenaan menyerang anjing peliharaan.
“Selepas buaya berjaya ditangkap, penduduk turut membantu kami mengangkatnya ke atas bot,” katanya hari ini, lapor Bernama.
Jeferry berkata, operasi bermula Sabtu lalu dan membuahkan hasil apabila dua ekor buaya masing-masing berukuran kira-kira 2.45 meter dan 2.74 meter ditangkap pada Ahad serta semalam.
Buaya ketiga yang jauh lebih besar pula berjaya ditangkap awal pagi tadi, katanya.
Dalam operasi sama, Jeferry berkata, pasukannya turut menemukan sebuah sarang yang mengandungi kira-kira 40 biji telur buaya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Kampung Kebuaw serta Sarawak Forestry Corporation (SFC) atas kerjasama yang diberikan sepanjang operasi berkenaan.
Jeferry berkata, pasukannya yang sudah beroperasi kira-kira dua tahun sering menjalankan aktiviti menangkap buaya di kawasan Sungai Rajang dan Sungai Igan berdasarkan maklumat daripada orang awam.





