POLIS menyerbu sebuah villa di kawasan kampung yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan telefon yang menyasarkan mangsa warga Jepun serta menahan 17 warga asing dalam serbuan di Alai, Melaka kelmarin.
Serbuan kira-kira jam 2.30 petang di Jalan Lama Bukit Punggor, Kampung Bukit Punggor itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah hasil risikan dan maklumat yang diterima.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 11 warga Jepun, empat warga China dan dua warga Myanmar berusia antara 23 hingga 55 tahun.
Menurutnya, kesemua yang ditangkap itu terdiri daripada 14 lelaki dan tiga wanita.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa individu berada di hadapan peralatan komputer yang ditempatkan dalam tiga bilik berasingan daripada keseluruhan sembilan bilik di premis terbabit,” katanya dalam sidang media di IPD Melaka Tengah, hari ini.
Dalam serbuan itu, Halim berkata, polis merampas 21 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba, dua monitor, dua unit CPU, dua papan kekunci, dua tetikus dan sebuah router.
Tambah beliau, turut dirampas sebuah buku nota, 28 keping cetakan komputer yang dipercayai mengandungi skrip dalam bahasa Jepun serta dua alat kawalan jauh pintu pagar dan keseluruhan barangan yang disita dianggarkan bernilai RM25,000.
Halim berkata, siasatan mendapati villa berkenaan dipercayai digunakan sebagai pusat panggilan sindiket yang menjalankan kegiatan penipuan telefon terhadap mangsa di Jepun.
“Sindiket ini dipercayai mula beroperasi di Melaka sejak awal Ogos lalu dengan semua suspek dipercayai berperanan mencari dan menghubungi mangsa warga Jepun melalui panggilan telefon.
“Polis turut menemukan 28 keping kertas cetakan komputer yang dipercayai mengandungi skrip dalam bahasa Jepun dan ia sedang diteliti sebagai sebahagian daripada siasatan,” katanya.
Bagaimanapun, polis masih menyiasat kaedah yang digunakan sindiket untuk memperdayakan mangsa, termasuk kandungan skrip panggilan, identiti yang digunakan, kaedah pembayaran serta aliran wang.
Analisis terhadap semua barang kes juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi sebenar kumpulan itu, peranan setiap suspek, dalang sindiket, jumlah mangsa dan nilai kerugian yang terlibat.
Halim berkata, kes berkenaan merupakan kali pertama pihaknya menahan anggota sindiket yang membabitkan warga Jepun.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman selama 14 hari bermula semalam hingga 18 Oktober ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pemeriksaan mendapati hanya lima suspek warga Jepun daripada 17 warga asing yang ditahan memiliki pasport.
Status dokumen perjalanan, pas lawatan dan permit kerja kesemua suspek masih dalam semakan pihak berkuasa, katanya.





