Lelaki cedera ditumbuk ketika operasi penguatkuasaan di Tasik Bera

SEORANG lelaki cedera dipercayai ditumbuk individu tidak dikenali ketika operasi penguatkuasaan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Ramsar, Tasik Bera, semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan penguat kuasa diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menjalankan operasi di Kampung Lubuk Tambangan kira-kira jam 1.20 tengah hari.

Katanya, ketika operasi berlangsung, sekumpulan masyarakat Orang Asli melakukan provokasi dan cuba menghalang tindakan penguatkuasaan yang sedang dijalankan.

“Dalam kejadian itu, seorang orang awam cedera selepas dipercayai ditumbuk individu tidak dikenali.

“Anggota penguat kuasa UPNP yang menjalankan operasi turut menerima ugutan supaya tidak meneruskan tindakan penguatkuasaan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Zulkiflee berkata, susulan kejadian itu polis menahan seorang lelaki berusia 54 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan, Seksyen 186 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lain akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membantu dan melengkapkan siasatan,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu kelancaran operasi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghalang mana-mana agensi kerajaan ketika menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan berkenaan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here