Dua remaja maut motosikal terlibat kemalangan di Ipoh

DUA remaja maut apabila motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kampung Teluk Sareh dekat Kampung Gajah, Ipoh awal pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa Siti Qazrina Abdul Rahman, 19, dan rakannya Adam Danial Abdul Rahman 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.29 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah digerak ke lokasi kejadian.

“Berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Toyota Yaris dan sebuah motosikal Yamaha Y15. Setibanya jentera di lokasi mendapati kereta tersebut berada di dalam parit dan terdapat seorang mangsa di dalam kereta namun tidak tersepit. Penunggang dan pembonceng motosikal turut berada di dalam parit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata kedua-dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala pemandu kenderaan terlibat yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Seri Iskandar untuk rawatan lanjut.

Menurut Sabarodzi, pihaknya mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) mengangkat ketiga-tiga mangsa menggunakan alat pengusung dan operasi tamat sepenuhnya pada 6.54 pagi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here