PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Myanmar Min Aung Hlaing di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.
Anwar menyambut ketibaan Min Aung Hlaing di bangunan berkenaan pada 9 pagi, disusuli upacara sambutan rasmi.
Min Aung Hlaing dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia sejak semalam (Rabu), dengan isu penghantaran pulang warga Myanmar di Malaysia antara perkara utama yang dijangka dibincangkan bersama Anwar
Melalui media sosial beliau, Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan empat mata selama setengah jam dengan Aung Hlaing, mereka bertukar pandangan mengenai penyelesaian isu pelarian Myanmar di Malaysia, khususnya penghantaran pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah tanpa mengira etnik.
Anwar berkata, beliau percaya perbincangan dan rundingan secara langsung dengan Aung Hlaing serta pimpinan Myanmar penting untuk mencapai penyelesaian yang lebih tuntas dalam isu pelarian.
‘’Pendekatan selama ini yang mengehadkan ruang dialog tidak membuahkan hasil, bahkan isu yang berlarutan selama puluhan tahun ini terus meruncing dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia,’’ katanya melalui media sosial beliau.
Anwar berkata, ruang perbincangan yang berasaskan sikap saling menghormati dan kepercayaan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengusahakan penyelesaian yang nyata.
Selepas pertemuan empat mata itu, kedua-dua pemimpin mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala.
Antara menteri Kabinet yang hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang bertindak sebagai menteri pengiring.
Semalam, Wisma Putra memaklumkan lawatan itu juga memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk meneruskan libat urus secara langsung dengan Myanmar, selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 pada Mei 2026 untuk meneruskan pendekatan konstruktif dan berprinsip dengan negara itu.
Menurut Wisma Putra, Myanmar merupakan sebahagian penting daripada ASEAN dan sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia akan terus menyokong usaha blok serantau itu ke arah keamanan dan perdamaian serta memastikan akses kepada bantuan kemanusiaan di Myanmar.
Malaysia juga akan bekerjasama rapat dengan semua negara anggota ASEAN bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.





