Tiga beradik selamat dikebumikan dalam satu liang lahad

TIGA beradik yang maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori pagi tadi selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Siraj di Pontian malam ini.

Jenazah Nor Daniel Aiman Norlizan, 18, Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufa Raisha Norlizan, 8, dikebumikan kira-kira jam 7.30 malam selepas selesai disolatkan di Masjid Jamek Kampung Parit Haji Siraj.

Bapa mangsa, Norlizan Khamis, 42, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir memberikan sokongan serta membantu keluarga sepanjang urusan pengurusan jenazah tiga beradik itu.

Norlizan turut menghargai bantuan daripada pihak sekolah, agensi berkaitan dan penduduk setempat yang bersama-sama membantu keluarga dalam menghadapi detik sukar berkenaan, lapor Sinar Harian.

Tiga beradik itu maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kampung Parit Haji Siraj kira-kira jam 7.20 pagi tadi.

Nor Daniel Fikri dan Puteri Naufa, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sapran, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Abang mereka, Nor Daniel Aiman pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dipercayai bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Julaiha Munaji, 44, sebelum ini sudah memaklumkan kepada dua anaknya yang bersekolah rendah bahawa sekolah ditutup susulan keadaan jerebu.

Bagaimanapun, kedua-duanya tetap mahu ke sekolah sebelum abang mereka membawa mereka keluar. Mereka kemudiannya berpatah balik selepas mendapat makluman bahawa sekolah berkenaan ditutup.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here