SINDIKET penyeludupan dadah antarabangsa dipercayai merekrut pelancong dari India sebagai penghantar ketamin ke Malaysia menggunakan beg bagasi yang diubah suai, dengan bayaran kira-kira RM1,000 bagi setiap penghantaran.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kegiatan itu terbongkar menerusi Op Plekoptera yang membawa kepada penahanan lima lelaki warga India berusia antara 21 hingga 43 tahun dalam empat serbuan pada 23 September lalu.
Menurutnya, sindiket yang dipercayai aktif sejak Mac lalu itu menyembunyikan dadah dalam ruang khas pada bagasi bagi mengelak dikesan ketika pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.
“Sindiket ini menggunakan warga India untuk membawa masuk dadah ke Malaysia. Mereka menyembunyikan dadah tersebut di dalam beg bagasi yang telah diubah suai secara khusus dan setiap penghantar pula dibayar kira-kira RM1,000,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, lapor Buletin TV3.
Beliau berkata, semua penghantar dipercayai melalui Lapangan Terbang Chennai, India, sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum ditahan polis di Kuala Lumpur hasil operasi berasaskan risikan.
Operasi itu membawa kepada rampasan 38.33 kilogram (kg) ketamin dan 0.038kg kudup ganja yang dianggarkan bernilai RM1.92 juta.
Saringan awal air kencing mendapati seorang daripada lima suspek positif tetrahydrocannabinol (THC), manakala kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 6 Oktober lalu.
Dalam operasi berasingan menerusi Op Tongkol, polis menahan tiga lelaki warga Malaysia berusia antara 35 hingga 49 tahun dalam empat serbuan di Selangor pada 1 Oktober lalu.
Hussein berkata, sindiket itu dipercayai menggunakan kawasan parkir pusat beli-belah sebagai lokasi pengumpulan dan penyerahan dadah sebelum diedarkan kepada penerima.
Operasi berkenaan membawa kepada rampasan 111.74kg methamphetamine dan 0.44kg heroin yang dianggarkan bernilai RM5.6 juta.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lalu dan menggunakan kereta untuk mengangkut bekalan dadah di sekitar Lembah Klang.
Ketiga-tiga suspek direman selama 14 hari bermula 2 hingga 15 Oktober bagi membantu siasatan, manakala semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan dadah sebelum ini.
Secara keseluruhan, kedua-dua operasi itu menyaksikan lapan suspek ditahan dengan rampasan dadah bernilai kira-kira RM7.52 juta.





