Penganggur dipenjara 15 tahun bunuh rakan

HUKUMAN penjara 15 tahun dikenakan terhadap seorang lelaki berusia 34 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membunuh rakannya di Pulau Sebang, Alor Gajah, enam tahun lepas.

Datuk D Suria Kumar yang bersidang di Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan hukuman terhadap AS Sitambarasan bermula dari tarikh penangkapannya pada 23 September 2020.

Hakim berkata, hukuman itu mengambil kira kepentingan awam, terutama kaedah pembunuhan dan tindakan menghapuskan mayat mangsa.

Beliau turut mengingatkan tertuduh supaya mengambil iktibar daripada kesalahan dilakukan, selain memikirkan kesannya terhadap keluarga yang turut menanggung beban akibat perbuatannya.

Mengikut fakta kes, Sitambarasan didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dua individu lain terhadap Sua Chun Chai, 31, di hadapan sebuah bengkel kenderaan di kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) Kuala Ina, Pulau Sebang, antara 14 hingga 17 September 2020.

Kes berkenaan terbongkar selepas anggota bomba yang memadamkan kebakaran sebuah kereta Honda Civic Ferio pada pagi 17 September tahun sama menemukan beg hitam berisi mayat di dalam kenderaan itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Saleh, manakala Sitambarasan diwakili peguam Andrew Lourdes, lapor Bernama.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here